Cara Memilih Pasangan Yang Tepat. 4 Kriteria Penting Untuk Anda.

Semua orang inginkan perkahwinan yang berkekalan sehingga akhir hayat. Tidak ada sesiapa pun yang mahukan perkahwinan itu berakhir dengan cara penceraian dan perpisahan. Tambahan jika perkahwinan itu sendiri telah mempunyai anak yang sedang membesar.

Rasulullah SAW telah menggariskan beberapa panduan buat lelaki dan perempuan dalam membina kehidupan berumahtangga itu sendiri.

Antara kriteria penting yang telah ditetapkan seperti dalam Al-Quran dan hadis adalah seperti berikut :

Melihat Agama dan Keimanannya

Antara perkara yang utama dalam memilih pasangan adalah melihat dari sudut agamanya. Perhatikan solatnya, akidahnya, akhlak pertuturan, serta kehormatannya. Bayangkan, jika anda memilih lelaki yang gemar mencarut. Bagaimana keluarga yang anda ingin bina nanti. Sama juga dengan solatnya, bagaimana mereka menyusun masa untuk solat dan ibadahnya.

Calon yang sesuai dijadikan pasangan bukan sahaja perlu bagus dari segi kepercayaan agamanya, tetapi juga kefahaman agama yang betul. Kerana, mereka bakal mencorakkan keluarga yang akan dibina nanti bersama pasangan.

Memeriksa latar belakang keturunan

Kriteria ini penting untuk mengelakkan permasalahan di kemudian hari. Tidak salah jika anda memeriksa keluarga pasangan anda terlebih dahulu. Sebaiknya, carilah mereka yang mempunyai sama darjat (sekufu) dan datang dari keluarga yang baik-baik.

Boleh juga anda menggunakan khidmat orang tengah atau kawan rapat untuk mengetahui perangai dan kehidupan bakal pasangan anda. Bagaimana hubungan calon pasangan bersama keluarga, sikap ketika bersama rakan, hobi, pekerjaan dan lain-lain.

Melihat kecantikan atau ketampanan

Kecantikan dan ketampanan ini bersifat subjektif. Namun pilihlah pasangan yang mengikut citarasa dan rupa yang baik seperti sabda Rasulullah SAW :

“Janganlah kamu mengahwini wanita kerana ingin melihat kecantikannya, mungkin kecantikan itu akan membawa kerosakan terhadap diri sendiri dan janganlah mengharapkan harta kekayaannya kerana mungkin dengan harta itu mereka menjadi sombong tetapi kahwinilah mereka itu kerana agama dan sesungguhnya hamba perempuan yang hitam lebih baik asalkan ia beragama”. (Riwayat Ibnu Majah dan Baihaqi)

Mengetahui kekayaan dan harta benda

Kenapa perkara ini penting? Kerana dengan harta yang dimiliki itulah yang akan digunakan untuk perkahwinan. Kekayaan yang tidak berlandaskan syarak akan membawa bencana dan tidak diberkati Allah SWT. Pentingnya untuk anda mengetahui saluran pendapatan bakal pasangan bagi mengelakkan hubungan kekeluargaan hancur. Pastikan pendapatan yang dijana oleh si dia adalah dari sumber yang halal dan bebas dari perkara syubhah.

Bagi kaum wanita, penting juga mengetahui keadaan ekonomi semasa pihak lelaki. Kerana perkahwinan bukan sahaja berkisar tentang kasih sayang, tetapi juga memerlukan kewangan. Cuba bayangkan bagaimana emosi anda selepas berkahwin jika suami tidak bekerja. Dan bagaimana anda perlu menguruskan keluarga dengan keadaan ekonomi yang kian mencabar.

Memilih pasangan yang baik memerlukan masa dan persediaan. Jangan terburu-buru serta mintalah petunjuk dari Allah melalui istikharah dan istisyarah supaya pasangan yang dipilih menjadi saham akhirat yang berharga kelak.

Leave the first comment