Proses mendidik anak-anak untuk menunaikan solat bukanlah mudah. Bahkan memerlukan didikan yang berterusan daripada ibu bapa untuk melatih anak-anak solat sebelum mereka mencapai usia baligh.
Rasulullah SAW mengajarkan supaya disuruh anak untuk mendirikan solat pada umurnya mencapai usia tujuh tahun dan memukulnya dengan pukulan yang tidak mencederakan dengan niat untuk memberi pengajaran ketika anak tersebut berumur sepuluh tahun.
Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مُرُوا أَوْلادَكُمْ بِالصَّلاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ ، وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ ، وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ
Maksudnya: Perintahkanlah anak-anak kalian untuk mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka (jika mereka tidak mahu melaksanakannya) ketika mereka berumur sepuluh tahun. Dan pisahkanlah tempat tidur di antara mereka.
Hadith riwayat Abu Daud: (490)
Ibu Bapa Sebagai Tauladan
Pendedahan awal kepada anak-anak secara tidak langsung bermula dari rumah. Anak-anak akan mengikut tingkah laku apabila sering melihat ibu bapa sering menunaikan solat setiap hari.
Oleh itu, usahakan untuk solat di awal waktu. Mudah-mudahan menjadi contoh yang baik buat anak-anak. Secara tidak langsung, ia akan membantu anda juga agar lebih berdisiplin dalam melaksanakan solat.
Solat Berjemaah
Melazimi solat jemaah di rumah bersama keluarga. Kebiasaanya waktu maghrib menjadi pilihan untuk berjemaah bersama kerana semua ahli keluarga berada di rumah.
Ajak anak anda untuk turut bersama menunaikan solat. Anak-anak akan rasa dihargai apabila kita sering mengajak mereka untuk solat bersama-sama. Selain itu, selepas waktu solat ini juga anda boleh selitkan sedikit masa untuk membaca Al-Quran dan tazkirah ringkas bersama mereka.
Hadiahkan Set Kelengkapan Solat
Hadiahkan anak-anak anda dengan set kelengkapan solat yang baru. Ini akan menjadi salah satu motivasi dan galakan untuk mereka lebih semangat menunaikan solat setiap hari.
Memberi Tugasan
Antara cara lain adalah dengan memberi anak-anak tugasan. Jika anak lelaki, anda boleh memberi mereka tugasan iqamah atau bergilir-gilir menjadi imam. Anak perempuan pula, ditugaskan untuk siapkan tempat solat seperti menyusun sejadah dan sebagainya.
Dengan cara ini, anak-anak akan rasa lebih bertanggungjawab dan cuba menyelesaikan tugasan setiap hari apabila tibanya waktu solat.
Doakan Anak Sentiasa
Amalkan doa daripada Surah Ibrahim, Ayat 40 yang bermaksud, “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku seorang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
Tugas ibu bapa sangat besar dan memerlukan kesabaran yang tinggi. Oleh itu, didiklah anak-anak dengan kasih sayang dan tidak menggunakan kekerasan, ugutan dan paksaan. Semoga tips yang dikongsikan dapat membantu anda mengajar anak solat, sesuai dengan sikap dan minat anak-anak.